Pages




PEJABAT UMNO BAHAGIAN SELAYANG
NO.13,LOT 19344,Jalan Kundang Kuang,48050 Rawang,
Selangor Darul Ehsan
Tel:03-6038 8096 Fax:03-6038 8097

Thursday, March 31, 2011

Kisah Anwar dan Serigala


Tengoklah Mr. Stereo Type Anwar Ibrahim. Dia tidak akan lari dari plot asal modus operandinya. Semua kisah yang dihadapinya atau kisah yang diciptanya, akhirnya adalah untuk mensabitkan konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya.

Strategi ini amat berkesan pada tahun 1998 yang lalu. Apabila timbul kes liwat 2, dia tuduh sekali lagi ini adalah usaha peringkat tertinggi parti untuk menghalang dia menjadi PM. Tapi tak berapa menjadi seperti tahun 1998.

Roadshow yang cuba dilakukan tidak mendapat sambutan seperti roadshow 1998. Akhirnya dia tak berani lagi nak tuduh konspirasi peringkat tertinggi kerana Saiful Buhkari begitu konsisten dengan pendirian hingga sanggup bersumpah mubahalah.

Jika kes 1998 dia ada asas untuk sabitkan konpirasi peringkat tertinggi kerana Mahathir yang memecatnya dan akhirnya peluang mata lebam telah menambah lagi sentiment rakyat untuk dimanipulasi.

Tapi kes Liwat 2 terlalu sulit untuk dia lakukan sepertimana kes liwat 1 kerana individu yang terlibat secara langsung adalah individu kecil yang bertahap pembancuh kopi saja.


Dalam kes video misteri Mr T juga sama, iaitu dia akan terpaksa berdepan dengan Mr T dan bukan kepimpinan peringkat tertinggi kerajaan.


Itu sebab hari pertama dia buat PC terus lemparkan hearsay, Sb terlibat dengan penayangan video seks di Seri Carcosa.

Hari ini dia terus buat tuduhan terbuka mengatakan DS Najib dan Dato Hishamuddin terlibat secara langsung dengan penayangan video tersebut. Dia ulangi teknik lama dengan mengatakan dia ‘ADA BUKTI’, ala kotak misteri jugaklah.

Ok…Kita tengok seterusnya. Hebat lagi perancangan dia kah atau perancangan Allah…



Dalam kisah klasik dulu-dulu ada disebut dalam kitab. Ada seorang pemuda yang duduk hujung kampung, selalu bagi terkejut orang kampong dengan cara terpekik terlolong mengatakan ada serigala nak makan dia.

Dua tiga kali dia kenakan orang kampong dan setiap kali orang kampong datang untuk menolong, tengok-tengok ini budak sudah tipu.

Akhirnya satu hari ada sekor serigala betul-betul datang nak baham dia, Dia pun terpekik terlolong mintak bantuan orang kampong, tapi tiada seorang pun orang kampong yang datang untuk menolong kerana semua satu kampong dah tak percaya dengan dia.

Akhirnya matilah pemuda tu kena bahammmmm.

Tidak mustahil Anwar Brahim sedang melalui pengalaman yang pernah dilalui oleh pemuda penipu tersebut.

Tuesday, March 29, 2011

Di mana ketelusan Pas?



Para pemimpin NGO sekitar Pulau Pinang mengadakan perhimpunan mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan video seks melibatkan pemimpin pembangkang di Pulau Pinang, kelmarin.




KITA tidak harus melupakan bahawa dalam kamus politik Pas, ada dua tindakan mereka yang cukup sinonim dengan parti itu, pertamanya solat hajat dan kedua menggesa ditubuhkan suruhanjaya diraja apabila ada isu.

Tetapi sejak kebelakangan ini, Pas tidak lagi bersikap demikian termasuklah dalam isu terbaru berhubung rakaman video seks yang melibatkan seorang pemimpin pembangkang.


Pas bukan sahaja awal-awal lagi menganggap ia konspirasi politik malah menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes itu. Malahan Pas juga tidak kedengaran untuk mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah berikutan isu terbaru yang timbul.


Ia berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1998, apabila Pas beria-ia menganjurkan solat hajat di pusat tarbiyahnya di Taman Melewar dan mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan.


Entah mengapa kali ini, Pas tidak lagi bersikap telus, sebaliknya tindakan Pas dilihat lebih banyak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Sebab itulah pemimpin Pas boleh mengeluarkan kenyataan bahawa penubuhan suruhanjaya diraja hanyalah mengarut selagi situasi sebenar tidak diketahui.


Apa yang anehnya, Pas sendiri sebelum ini begitu beria-ia benar bersetuju mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock kononnya atas alasan mencari kebenaran.


Namun kenapa dalam isu terbaru ini desakan penubuhan suruhanjaya tersebut dianggap 'mengarut'? Sedangkan kita masih ingat suatu ketika dulu apabila timbul isu, Pas bukan sahaja membuat desakan melalui kenyataan akhbar atau di dalam Dewan Rakyat malah mengadakan siri ceramah.


Namun kini segalanya sudah berubah. Ternyata ikatan setiakawan yang diwujudkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP seolah-olah 'mengunci langkah' Pas untuk menyatakan kebenaran.


Pas tidak mahu membuat tindakan yang dilihat akan menjejaskan hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan yang sudah 'membuaikan' Pas dengan impian ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Pas tidak mahu peluang politik tersebut terjejas jika apa yang didakwa melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi kenyataan.


Justeru pemimpin-pemimpin Pas di peringkat pusat 'bersilat lidah' bagi menafikan sebarang usaha yang memungkinkan kebenaran boleh dicapai tetapi dilihat tidak akan menyebelahi mereka.


Semua ini sebenarnya merugikan politik Pas itu sendiri. Sudah pasti ramai yang akan melihat Pas bukan lagi memperjuangkan sesuatu perkara berlandaskan kepada kebenaran tetapi lebih kepada keuntungan politik.


Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya Pas bertegas dalam soal melibatkan moral mana-mana pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang.


Ramai tertanya-tanya bagaimana jika video seks itu dikaitkan dengan pemimpin kerajaan atau tepat lagi Barisan Nasional (BN), apakah Pas akan mendiamkan diri dan membantah sebarang usaha menubuhkan suruhanjaya diraja?


Sudah pastilah Pas tidak akan membantah sebaliknya akan berterusan bersama-sama dengan PKR dan DAP melakukan desakan kerana percaya ia akan menguntungkan politik pembangkang.


Ia sudah dibuktikan dalam beberapa kes sebelum ini termasuklah berhujah, Islam membenarkan kita mendedahkan peribadi seseorang demi mencari pemimpin yang baik tetapi apabila tercetus isu video seks terbaru ini, Pas seolah-olah menghapuskan sikap telusnya. Soal mencari kebenaran tidak diperkatakan sebaliknya di kalangan mereka menganggap ia taktik politik yang cukup menjijikkan.


Kita tidak faham kenapakah apabila timbul sahaja perkara berkaitan dengan pembangkang ia dianggap konspirasi, fitnah dan berniat jahat, sedangkan kalau sesuatu isu itu melibatkan kerajaan maka pembangkang akan menerimanya sebagai satu fakta biarpun ada antaranya hanyalah fitnah.


Berikutan sikap Pas yang dilihat semakin menenggelamkan sikap telusnya sebagai sebuah parti Islam itulah yang menyebabkan ada desakan supaya Pas menyatakan pendirian secara terus-terang dalam isu terbaru ini.


Mereka tidak mahu Pas yang melaungkan slogan-slogan Islam seolah-olah tidak mahu mencari sebuah kebenaran tidak kira sama ada ia memihak kepada politik pembangkang atau tidak.


Sebenarnya, berdasarkan kepada maklumat yang diterima di peringkat akar umbi Pas, mereka semakin tawar untuk menyokong langkah parti itu terus bekerjasama dengan PKR. Ia disebabkan dengan pelbagai kemelut yang berlaku melibatkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan ia turut menjejaskan imej Pas.


Pas masih belum mahu melihat bagaimana tindakan mereka terlalu bersekongkol dengan PKR dan DAP telah memungkinkan parti itu tewas dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini.


Dan kini Pas akan menerima padahnya lagi jika mereka terus tidak konsisten dalam isu-isu berkaitan menegakkan kebenaran.


Kalau benar Pas jujur, sudah pastilah parti itu tidak akan awal-awal lagi menganggap apa yang terjadi konspirasi sebaliknya akan berusaha menggesa supaya segala langkah dilakukan bagi membuktikan apa yang berlaku satu konspirasi atau kebenaran.


Pada masa ini, Pas mengambil jalan selamat dengan meminta polis menjalankan siasatan terperinci tetapi soalnya jika siasatan polis tidak menyebelahi pembangkang adakah Pas akan menerima keputusan berkenaan. Adakah ketika ini Pas akan menyebelahi PKR atau bersetuju dengan siasatan polis biarpun mereka tahu ia tidak akan menguntungkan pembangkang?


Justeru adalah wajar jika Pas berhenti daripada terus berdolak-dalih dalam isu terbaru ini. Keadilan dan kebenaran bukan hanya berhak dikuasai oleh pembangkang sahaja tetapi juga pihak-pihak lain di luar lingkungan parti itu.

Jangan heret rakyat dengan skandal pemimpin

MENGENALI taktik Anwar Ibrahim sejak dahulu, sangat tidak menghairankan apabila Ketua Pembangkang itu sering kali mengheret rakyat dalam masalah atau isu moral dan peribadinya.


Bukan sekali dua beliau melibatkan rakyat dalam kes-kes membabitkannya. Ini termasuklah dalam kes liwat pertama dan juga yang kedua.


Tidak cukup dengan ceramah jelajah seluruh negara, Anwar juga memprovokasi rakyat untuk mengadakan perhimpunan haram semata-mata untuk menunjukkan kepada umum bahawa beliau ada sokongan.


Tentu ramai yang masih ingat sebelum ini beliau bersembunyi atau mendapatkan perlindungan di dalam Kedutaan Turki di ibu negara apabila Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis berhubung dakwaan liwat terhadapnya.


Ketika itu, Anwar mendakwa bimbang tentang keselamatan dirinya, lantas sebab itulah beliau berlindung di kedutaan tersebut.


Hakikatnya, apabila beliau menjelajah seluruh negara dan berceramah di banyak tempat, dirinya sentiasa selamat bergerak ke mana-mana tanpa sebarang ancaman.


Yang terbaru, dalam kes video seks yang dikaitkan dengannya, seperti dijangka, beliau sekali lagi menjadikan rakyat sebagai 'benteng' untuk melindungi dirinya daripada tuduhan yang dilemparkan.


Sememangnya Anwar mempunyai hak membuat penafian dan mempertahankan dirinya daripada tuduhan kononnya beliau adalah lelaki dalam video seks melibatkan pelacur dari China itu. Itu tidak dipersoalkan.


Tetapi, tindakannya mengulangi taktik sama iaitu mengapi-apikan emosi rakyat kononnya beliau teraniaya dan menjadi mangsa sehingga membawa kepada rancangan penganjuran perhimpunan-perhimpunan jalanan, itu sangatlah dikesali.


Sama ada beliau sendiri atau parti-parti pembangkang, kini masjid dan surau digunakan untuk berceramah bagi menepis tuduhan demi tuduhan serta skandal melibatkan Anwar termasuk kes video seks tersebut.


Di sinilah ketidakadilan berlaku kerana rakyat terutama umat Islam tertipu setiap kali mahu mendengar ceramah di masjid. Apa tidaknya, mereka ingin mendengar kuliah agama tetapi diperdengarkan dengan ceramah berkaitan isu dan kes melibatkan Anwar.


Persoalannya, mengapakah sejak dulu Anwar tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri apabila sesuatu tuduhan berkaitan skandal atau masalah moral dilemparkan kepada dirinya.


Mengapa setiap kali ada dakwaan skandal membabitkannya didedahkan kepada umum, rakyat mesti dilibat sama?


Mengapa mesti mengerahkan rakyat untuk membela dirinya sedangkan ini kes atau skandal peribadi?


Selepas berlalunya beberapa kes melibatkan Anwar bermula sejak pemecatannya daripada jawatan kerajaan pada 1998 sehingga kini, rakyat sudah pasti boleh 'membaca' dan menyimpulkan motif di sebalik taktik beliau mengheret rakyat.


Dalam hal ini juga, rakyat juga tidak seharusnya mudah terlibat atau terperangkap dalam sebarang taktik atau agenda Anwar dalam usahanya untuk membela diri di 'mahkamah terbuka' dalam apa sahaja kes melibatkan dirinya.

Wednesday, March 23, 2011

Zaid hairan Anwar cepat nafi terlibat

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim hairan dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlalu cepat menyifatkan video aksi seks yang dikaitkan dengan dirinya sebagai satu konspirasi untuk mengaibkan beliau dan keluarga.

Menurutnya, Anwar dan pemimpin pembangkang lain wajar melihat terlebih dahulu rakaman video tersebut sebelum membuat penafian kerana terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab.

"Saya tidak boleh komen banyak sebab tidak tengok lagi video itu, tetapi saya hairan pemimpin PKR yang lain terus kata ia satu rekaan, hairan macam mana mereka tahu sedangkan mereka sendiri tidak tengok lagi.

"Pada sidang akhbar semalam, Anwar kata orang dalam video itu gemuk, mana Anwar tahu, dia pun belum lihat lagi. Terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab, tetapi saya percaya tidak lama lagi semuanya akan jelas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya Jumaat lalu terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.

Zaid mendakwa diugut Karpal berhubung kenyataannya menasihati Anwar supaya menyerahkan sampel DNA tanpa perlu menunggu perintah mahkamah dalam perbicaraan kes liwat yang dihadapinya.

Semalam, Anwar menafikan penglibatannya dalam video aksi seks dengan seorang pelacur dipercayai dari China dengan mendakwa ia satu lagi konspirasi terbaru untuk memfitnah dan mengaibkan beliau dan keluarga.

Dalam perkembangan sama, Zaid yang juga bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, rakyat telah membuang terlalu banyak masa untuk membincangkan masalah peribadi yang dihadapi oleh Anwar.

Beliau berkata, masa tersebut sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk membincangkan mengenai dasar dan pembangunan negara.

"Parti-parti politik tidak kira Barisan Nasional (BN) atau pembangkang sepatutnya dipimpin oleh pemimpin yang ada integriti.

"Sudah terlalu banyak tuduhan terhadap Anwar dan banyak masa negara dihabiskan untuk membincangkan masalah yang berkisar tentang peribadi Anwar, ini semua buang masa," katanya.

Anwar cuba alih isu DNA



Kepimpinan Pas di kalangan kumpulan ulama dipercayai telah memberi kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan kebenaran.

Dua ahli Parlimen Bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli Noordin mendakwa, maklumat yang diperoleh mereka juga memaklumkan jika Anwar enggan, maka kumpulan ulama itu akan mendesak Pas mengkaji semula hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Zulkifli, maklumat itu diterima mereka daripada rakan lama dalam PKR yang amat diyakini dan dipercayai kerana pernah beberapa kali memberi maklumat tepat sebelum ini.

“Oleh itu, Anwar dalam keadaan terdesak dan terpaksa mengalih isu. Apatah lagi keputusan permohonan pihak pendakwaan meminta Mahkamah Tinggi menggunakan kuasanya untuk mengarahkan Anwar menyerahkan sampel DNA ditentukan esok.

“Di sinilah video itu memainkan peranan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai rakaman video aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur asing di sebuah hotel di ibu kota seperti didedahkan akhbar hari ini.

Anwar telah mengadakan sidang media untuk menafikan pembabitannya dalam video berkenaan dan juga membuat laporan polis berhubung kes itu.

“Jangan kita terperangkap. Tiada siapa tuduh Anwar, tetapi dalam masa kira-kira tiga jam selepas pendedahan itu, beliau mampu buat sidang akhbar mendakwa bukan ‘pelakon’ video tersebut selain kata perut buncit. Dia kata tidak tengok, tetapi mana dapat maklumat?

“Selain itu, pagi ini beliau membuat laporan polis, perkara yang tidak pernah dilakukannya dalam tuduhan-tuduhan sebelum ini. Pada saya, kecepatan dan ketangkasan beliau bertindak sangat meragukan. Soalnya, mengapa dalam soal ini cepat bertindak, isu DNA pula lambat?” katanya.

Justeru, beliau mencabar Anwar untuk turut sama bertindak pantas menyerahkan sampel DNAnya bagi menyelesaikan misteri lelaki ‘Y’.

Sementara itu, Zahrain mempersoalkan kenyataan Anwar semalam yang mendakwa video seks itu timbul kerana beliau telah menang di mahkamah dalam kes liwat.

“Bukankah itu merupakan tindakan menghina mahkamah? Bagi saya, beliau bersikap double standard kerana pernah menggesa agar polis menangkap individu mendesak beliau menyerahkan DNA,” katanya.

Jangan terlalu dibuai skandal video seks

Orang ramai diminta jangan terlalu 'dibuai' dengan kejutan skandal video seks yang dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga terlupa meneruskan desakan supaya ketua pembangkang itu menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Ini kerana, sejauh mana kebenaran yang mengaitkan Anwar sebagai 'aktor' yang sedang melakukan hubungan seks dengan seorang pelacur warga asing dalam video hitam putih seperti didedahkan sekumpulan lelaki, diketuai Datuk T, masih lagi menjadi persoalan.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, meskipun skandal video seks itu merupakan berita panas tetapi ia tidak seharusnya mengalih perhatian rakyat daripada persoalan utama, iaitu keengganan Anwar menyerahkan sampel DNA.

"Jangan benarkan Anwar menggunakan isu video seks ini sebagai modal untuk meraih simpati rakyat, persoalan utama ketika ini adalah perbicaraan liwat serta keengganan Anwar untuk menyerah DNA. Ini persoalannya dan kenapa Anwar cukup takut kalau benar-benar tidak bersalah.

"Saya melibat ada cubaan di pihak Anwar untuk menggunakan isu skandal video seks ini bagi mengalih perhatian rakyat agar tidak meneruskan desakan supaya beliau menyerah sampel DNA," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Zahid menggesa kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja bagi merungkai ketulenan dan kebenaran video tersebut, selaras dengan kedudukan Ketua Pembangkang sebagai sebuah institusi yang diiktiraf dalam Perlembagaan.

Katanya, suruhanjaya diraja itu wajar ditubuhkan memandangkan Anwar awal-awal lagi sudah menjadikan kerajaan sebagai 'kambing hitam' dengan menuduh rakaman video tersebut adalah rekayasa serta fitnah kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Tindakan terdesak Anwar ini seolah-olah kerajaan Malaysia tiada kerja. Seolah-olah kerajaan hanya pandai memfitnah dan merekayasa video seks untuk menjatuhkannya dan seolah-olah kerajaan tiada kerja melainkan mengikut ke mana sahaja Anwar menginap.

"Ini tuduhan jahat tetapi dengan tertubuhnya suruhanjaya diraja, bukan sahaja kebenaran tetapi lelaki yang mirip Anwar yang perutnya lebih buncit juga dapat dikenal pasti, perakam video juga dapat dikenal pasti, siapa menyimpan dan motifnya juga dapat dikenal pasti," jelasnya.

Sementara itu, mengulas isu berkaitan, Mohd. Zahid membidas Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'Lo' Mohamad Ghazali sebagai nyanyuk, kerana menuduh kononnya kerajaan cuba menghancurkan negara ini dengan melakukan apa sahaja bagi memburukkan Anwar.

Menurutnya, Lo'Lo' sengaja buat-buat lupa kerana sebenarnya, perbuatan menghancurkan negara didalangi pembangkang yang sanggup pergi ke luar negara bagi mendesak pihak asing campur tangan dan pada masa sama memburukkan Malaysia.

'Rakyat perlu berhati-hati'

Rakyat diminta tidak terpengaruh dengan video klip adegan seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang kerana berkemungkinan ia bertujuan mengalihkan sesuatu isu sekali gus mengelirukan lagi keadaan.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, dalam situasi sekarang adalah lebih baik rakyat mengambil sikap tunggu dan lihat apatah lagi video klip itu cuba dikaitkan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Secara peribadi saya terkejut dan ragu-ragu dengan apa yang berlaku kerana ketika rakyat tertumpu kes mahkamah yang melibatkan diri Anwar tiba-tiba bangkit satu isu baru.

''Seolah-olah ia sengaja dicetuskan bagi mewujudkan suasana yang lebih keliru," katanya.

Beliau mengulas penafian Anwar berhubung penglibatannya dalam video lucah yang ditayangkan di Carcosa Seri Negara semalam, dengan mendakwa ia satu lagi konspirasi terbaru untuk memfitnah dan mengaibkan beliau dan keluarga.

Anwar mendakwa ia merupakan satu rekayasa jahat musuh politik yang berhasrat untuk membantut kemaraan beliau dalam politik dan PKR.

Penafian itu berikutan daripada satu rakaman video aksi seks seorang lelaki yang didakwa mirip pemimpin pembangkang itu dengan seorang pelacur dipercayai dari China di sebuah hotel di ibu kota didedahkan kepada pihak media, semalam.

Mukhriz berkata, seperkara yang harus diakui, Anwar sememangnya seorang yang hebat dalam perkara 'menterbalikkan pemikiran' atau reverse pyschology terhadap satu-satu isu.

''Anwar bukan orang biasa. Oleh itu, seperti yang saya nyatakan tadi semua pihak terutama rakyat diminta lebih berhati-hati dalam perkara ini.

''Saya turut mendapat banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej daripada rakan-rakan dan mereka mengatakan apa yang berlaku ini merupakan sesuatu yang amat pelik," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, situasi itu seolah-olah memberi gambaran bahawa isu rakaman video seks itu seperti sengaja dirancang.

Katanya, persoalannya juga timbul kenapa lelaki yang dikenali sebagai Datuk T itu tidak menyerahkan pita rakaman video seks tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut jika sahih membabitkan ketua pembangkang.

"Isu tersebut adalah serius kerana membabitkan maruah pemimpin politik dan sewajarnya Datuk T menyerahkan kepada polis terlebih dahulu sebelum dipertontonkan kepada wartawan.

"Datuk T hanya mempertontonkan kepada sekumpulan wartawan terpilih petang semalam, ini menimbulkan teka-teki kemungkinan besar Anwar sengaja merancang pembikinan video tersebut," katanya dalam blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com/.

Monday, March 21, 2011

Mahu jadikan Malaysia sebagai negara republik - Ummi Hafilda



Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bercita-cita besar untuk menjadikan Malaysia sebuah republik sekali gus mengangkat dirinya sebagai Presiden, manakala Azmin Ali pula akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Lebih dahsyat, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga dikatakan mempunyai niat untuk menghapuskan institusi diraja sekiranya beliau berkuasa.

Cita-cita Anwar itu didedahkan oleh saksi utama kes liwat Ketua Pembangkang itu pada 1998, Ummi Hafilda Ali pada majlis ceramah 'Pas Keluk Kelek' di Bandar Jerteh di sini, malam tadi.

Menurut Ummi Hafilda, cita-cita luar biasa bekas Timbalan Perdana Menteri itu diluahkan oleh abangnya yang juga Timbalan Presiden PKR, Azmin kepada bapa mereka, Allahyarham Ali Omar suatu ketika dulu.

"Abang saya pernah beritahu arwah bapa kami, jika Anwar berkuasa, dia akan menjadikan Malaysia sebuah republik," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh serta barisan kepimpinan UMNO bahagian tersebut. Turut memberikan ceramah ialah Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Mohd. Noor Deris.

Sesi ceramah tersebut berlangsung hampir serentak dengan ceramah para pemimpin Pas dan PKR yang disertai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Azmin yang terletak berhampiran dan hanya terpisah sebatang sungai dekat Masjid Hadhari di sini.

Dalam ceramah itu, Ummi Hafilda mengupas satu persatu perilaku keji Anwar termasuk skandalnya dengan isteri salah seorang pemimpin PKR, selain fitnah dan pembohongan Ketua Pembangkang itu kepada seluruh rakyat.

Ummi Hafilda turut berikrar untuk melancarkan 'perang dan ganyang' terhadap Anwar serta abangnya sendiri, Azmin bermula tahun ini bagi memastikan kedua-duanya tersungkur dan terkubur, jika mereka masih enggan bertaubat.

Selain itu, Ummi Hafilda turut menafikan dakwaan kononnya beliau mempunyai hubungan intim dengan ahli perniagaan, Baginda Minda.

Beliau selanjutnya melafazkan sumpah 'wallahi, wabillahi, watallahi' di depan hadirin sambil bertegas yang beliau tidak pernah mengadakan hubungan seks dan berzina dengan ahli perniagaan terbabit seperti yang didakwa.

Saturday, March 19, 2011

MB akui Yayasan Selangor pincang



Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengakui berlaku kepincangan dalam pengurusan Yayasan Selangor termasuk perbelanjaan tidak berhemah menyebabkan kos penganjuran sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu, November tahun lalu mencecah hingga RM1 juta.

Jumlah itu melebihi daripada dakwaan asal UMNO Selangor sebelum ini iaitu RM800,000 manakala angka yang dipertahankan Menteri Besar sebelum ini kira-kira RM300,000.

Selain itu, perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November tahun lalu.

Abdul Khalid dalam kenyataannya berkata, laporan audit Yayasan Selangor oleh Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang disemak hari ini terdapat beberapa isu berkaitan perbelanjaan yang tidak mengikut aturan selain wujud tindakan yang didapati tidak menjaga kepentingan yayasan itu.

“Perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah hampir RM1 juta,” katanya.

Kerajaan PKR Selangor ‘punggah’ hasil Orang Asli


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang sebelum ini melaung-laungkan mahu membela hak dan nasib Orang Asli ternyata hanya bermain ‘wayang kulit’.

Ini kerana mereka kini didakwa sedang ‘memunggah’ hasil milik Orang Asli di kawasan seluas 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12 dekat sini dengan sebahagian besarnya terletak dalam tanah Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Mukim Tanjung 12 membabitkan tujuh buah kampung yang diwartakan dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.

Tanah tersebut merupakan tanah warisan, tanah adat dan tanah rayau kepada kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Temuan sejak ratusan tahun lalu dan telah diwartakan sebagai tanah simpanan Sakai sejak 1927.

Ia juga menjadi rebutan pelbagai syarikat kerajaan negeri dan ada antaranya didakwa diserahkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan masyarakat Orang Asli. Ini termasuk bekas lombong Petaling Tin Bhd. yang dikatakan sudah diberi milik kepada sebuah syarikat kerajaan negeri tetapi telah dijual pula kepada pihak ketiga.

Dipercayai Mukim Tanjung 12 adalah satu-satunya kawasan segi tiga berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya yang begitu kaya dengan hasil galian termasuk logam berharga sehingga menyebabkan ia menjadi rebutan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, tindakan membelakangkan hak Orang Asli telah menyebabkan masyarakat tersebut tidak boleh bersabar, apatah lagi menyedari latar belakang kawasan tersebut adalah penempatan utama suku Temuan di negara ini.

Sedangkan menurut mereka, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) pada 25 Januari tahun lalu telah mengeluarkan pengesahan bahawa Mukim Tanjung 12 adalah kawasan Orang Asli berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 November 1965.

Wednesday, March 16, 2011

BN Selangor bersedia hadapi PRU 13


Barisan Nasional (BN) Selangor bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 13 akan datang dan yakin akan menang berikutan rakyat di negeri ini kembali percaya kepada kepimpinan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, pihaknya telah kenal pasti beberapa kelemahan sekali gus menyebabkan BN tewas untuk mempertahankan tampuk pentadbiran di Selangor pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, kegagalan itu membantu mereka kembali berusaha dan bekerja keras serta hari ini mereka melaksanakan tanggungjawab dengan pelbagai perubahan melibatkan pelbagai aspek antaranya tindakan, pelaksanaan, dan penambah baikan.

“Pelaksanaan dan pembaharuan yang dilakukan untuk menjadikan rakyat dapat hidup dengan lebih baik dan kini segala tindakan BN diharapkan dapat dirasai rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan negara,”katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Shukor berkata, dari semasa ke semasa tindakan dan pembaharuan yang dilakukan mampu memberikan kepuasan kepada rakyat.

“Saya yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kajian yang dilakukan, kita lihat rakyat kembali bersama- sama BN dan menunjukkan mereka inginkan kepimpinan BN.

“Apa yang saya lihat dan dimaklumkan, BN tewas pada PRU 12 lalu disebabkan rakyat protes dan berhasrat menurunkan undi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku, rakyat berpendapat sedemikian di kebanyakan tempat menyebabkan BN kehilangan beberapa negeri kerana kekurangan undi sekaligus.

“Saya yakin, dasar PM dan kerja kuat parti, BN lebih yakin rakyat kembali menyokong seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil, kepercayaan mereka memberi kejayaan kepada BN,”katanya.

Monday, March 7, 2011

Nik Aziz perlu belajar terima hakikat



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa bukan semua pandangan politiknya yang menggunakan agama Islam, sentiasa betul.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Nik Abdul Aziz juga perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang pandangan politik yang menggunakan agama, kerana ia boleh mengundang perpecahan di kalangan umat Islam.

"Kita bukan maksum seperti Nabi. Jadi kita kena ingat, sebagai manusia kita tidak akan dapat lari daripada membuat kesilapan dan kita ada kelemahan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan-kenyataan Nik Abdul Aziz yang dilihat mengelirukan umat Islam terutama setiap kali menjelang pilihan raya kecil.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas itu pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan fatwa ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor dengan menyatakan pengundi yang menolak Pas adalah golongan jahiliah.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kesan tindakan pemimpin Pas terutama Nik Abdul Aziz mengeluarkan 'fatwa songsang' dapat dilihat dengan jelas di peringkat bawah seperti wujud solat dua imam yang berlaku di sebuah masjid di Kerdau, baru-baru ini.

"Ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kerdau baru-baru ini, saya telah menunaikan solat di sebuah masjid dalam kawasan itu, amat mengejutkan apabila berlaku solat dua imam, satu pihak bersolat mengikut imam Pas dan satu pihak bersembahyang mengikut imam yang dilantik kerajaan negeri Pahang.

"Perbuatan ini masih berlaku, ia bukti perpecahan kerana penggunaan agama demi ideologi politik kepartian," katanya.

Sementara itu, beliau meminta Kerajaan Pas Kelantan menjelaskan dakwaan sebuah laman web mengenai penjualan tanah Ladang Rakyat kepada syarikat bukan bumiputera bernilai lebih RM12 juta, sedangkan projek itu dikatakan untuk membantu rakyat miskin melalui pertanian.

"Jika Pas adil dan melaksanakan pemerintahan secara Islam, mereka perlu jelaskan perkara ini, apakah mereka tidak selidiki dahulu kemampuan syarikat ini. Kalau tanah di Hulu Kelantan terlepas kepada orang lain, maka saya tidak hairan jika tanah di Kota Bharu semuanya tergadai,'' katanya.

"Rakyat Kelantan belum mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung penjualan itu. Tanah berkenaan telah diberikan kerajaan negeri kepada dua individu yang dipercayai adik-beradik," katanya.

Sebuah laman blog kelatekito.net mendakwa, wujud perjanjian 'ali baba' dalam pemberian tanah seluas 1,185.2 hektar kepada sebuah syarikat milik bumiputera yang dimiliki dua beradik pada tahun 2006 untuk fasa kedua pembangunan Ladang Rakyat di Mukim Kandek, Dabong.

Perjanjian pemberian tanah tersebut dibuat pada 23 Mac 2006 dengan Menteri Besar mewakili Kerajaan Pas Kelantan, manakala pasangan dua beradik itu mewakili sebuah syarikat perladangan dan ternakan.

Bagaimanapun, kira-kira tiga tahun selepas itu, syarikat tersebut telah diambil oleh sebuah syarikat bukan bumiputera membabitkan penjualan saham sebanyak RM12.75 juta.

ADUN cadang saman MB


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana memfitnahnya terlibat dalam penerbitan dan pengedaran akhbar Selangor Terkini.

Abdul Shukor berkata, tindakan Abdul Khalid itu telah memberi reputasi buruk terhadap beliau sebagai wakil rakyat.

“Kenyataan Abdul Khalid itu begitu celupar apabila mengaitkan saya secara terang-terangan menjadi pengedar serta penerbit akhbar Selangor Terkini.

“Ini satu fitnah oleh Menteri Besar dan beliau tidak boleh terus menerus menuduh saya tanpa usul periksa. Oleh itu saya tidak teragak-agak untuk menyaman Abdul Khalid berhubung perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Shukor berkata, beliau akan berbincang dengan UMNO Selangor serta peguam beliau mengenai perkara berkenaan.

Katanya, pandangan yang disiarkan dalam Selangor Terkini merupakan rintihan dan masalah yang sememangnya dihadapi oleh rakyat.

“Secara kebetulan kandungan Selangor Terkini adalah sama dengan pandangan saya mengenai pentadbiran negeri.

“Tetapi, saya tidak ada kaitan langsung dengan akhbar ini. Malah, saya sendiri tidak tahu siapa yang menghantar salinan penerbitan tersebut ke pusat khidmat saya di Kuang dan individu berkenaan juga mengambil kesempatan mengedarkannya di salah satu program di kawasan ini,” katanya.

Jumaat lalu, Kerajaan Negeri menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus yang secara terbuka mengaku memiliki dan mengedar akhbar tanpa permit, Selangor Terkini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar sepucuk surat kepada Abdul Ghani berhubung perkara itu semalam.

Katanya, tindakan Abdul Shukor telah memberi imej buruk terhadap wakil rakyat kerana perbuatannya itu menunjukkan seolah-olah beliau menyokong bahawa sesebuah penerbitan tidak memerlukan kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Abdul Shukor berkata, tindakan Kerajaan Negeri itu seolah-olah ‘takut dengan bayang-bayang sendiri’.

“Dulu mereka berjuang untuk kebebasan bersuara tetapi kenapa apabila ada akhbar Selangor Terkini itu mereka seolah-olah takut. Seolah-olah apa yang dilaporkan di dalam akhbar tersebut benar dan sekali gus terkena batang hidung mereka sendiri.

“Jelas mereka takut rakyat Selangor mendapat maklumat yang betul apa yang mereka buat sebelum ini,” katanya.

Wednesday, March 2, 2011

Jangan guna hukum agama raih undi: Mufti



Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan pemimpin Pas, terutama Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya tidak menggunakan hukum agama bagi meraih undi.

Harussani berkata, pemimpin beragama seperti beliau tidak seharusnya mengeluarkan fatwa seperti 'undi Pas masuk syurga' ketika berkempen dalam pilihan raya kerana bimbang boleh menyebabkan masyarakat Islam keliru.

“Agama Islam yang disampaikan kepada kita sudah cukup sempurna dan mulia. Kenapa perlu mencelarukannya dengan mengeluarkan fatwa sebegitu?

“Nik Aziz adalah pemimpin dan ulama yang disegani. Beliau dihormati, tetapi dengan berbuat demikian akidah masyarakat Islam akan terpesong,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian: semalam.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang baru-baru ini, Nik Abdul Aziz dilaporkan menggunakan cara ini untuk meraih undi orang Melayu.

Kata Harussani lagi, ketentuan syurga dan neraka bukanlah terletak di tangan manusia, tetapi ditentukan Allah.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin berkata, akidah umat Islam di negara ini, terutamanya penyokong Pas, boleh terpesong akibat kenyataan seperti itu.

Muhyiddin berkata, menjelangnya pilihan raya pemimpin Pas sering mengeluarkan pelbagai fatwa untuk meraih undi, tanpa memikirkan kemungkinan ia mengelirukan masyarakat.

Isu tapak surau belum selesai

SELAYANG – Isu tanah Surau Al-Hidayah Pekan Rawang mahu diambil alih pihak tertentu masih belum selesai selagi pemaju swasta terlibat tidak menandatangani dokumen penyerahan lot berkaitan.

Penasihat badan bertindak surau terbabit, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim mempertikaikan kenyataan dikeluarkan pihak Masjid Nurul Iman Rawang (MNIR) dan Pejabat Wakil Rakyat Rawang yang mengatakan isu pengambilan tapak surau berkenaan sudah selesai.

Menurutnya, ini berikutan ‘tuan punya tanah sebenar’ dikatakan bekas anak syarikat Kerajaan Negeri dan pemaju terlibat hanya bertindak mendiamkan diri.

“Kita mahu tahu, siapa benarkan lapan lot tanah surau dikeluarkan geran pada 2009. Sedangkan sebagai syarikat anak Kerajaan Negeri, mana mungkin keputusan (pemulangan tanah) dibuat dengan mudah.

“Walaupun syarikat itu bekas anak syarikat Kerajaan Negeri dan kini entiti swasta, tetapi perlu diisytiharkan apabila isu ini timbul. Kita khuatir ini hanya ‘gula-gula’ mereka mengatakan tanah sudah dipulangkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama Jawatankuasa Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH) berhubung isu berkenaan di pejabatnya, di sini.

Dalam pada itu menurutnya, turut dipertikaikan sama ada tanah berkenaan sudah digazetkan semula sebagai tanah surau atau sebaliknya apabila MNIR menyatakan ia telah dikembalikan.

“Siapa benarkan tanah itu dibatal gazet sebelum ini dan diluluskan untuk dipecahkan kepada lapan lot? Adakah ia melalui kelulusan Exco, Kerajaan Negeri atau atas angin sahaja?

“Kenapa tiba-tiba pemaju mahu serahkan kembali semua lapan lot kepada surau, sedangkan premium tanah itu sudah dibayar dan bergeran,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mewakili BBSAH mengulangi bantahan kariah Rawang terhadap Kerajaan Negeri dan Pejabat Tanah Daerah Gombak yang pernah dibuat sebelum ini kerana mengeluarkan geran lapan lot berasingan di tapak Surau Al-Hidayah yang juga bekas tapak surau berkenaan.

Katanya, yang dipertikaikan ialah geran dikeluarkan kepada syarikat swasta untuk dibangunkan dalam siri pembangunan semula Pekan Rawang, meskipun tanah terbabit digazetkan sebagai tapak surau sejak 1920.

“Walaupun pada 17 Januari 2003, pejabat tanah mengeluarkan arahan supaya pindaan pelan pertapakan dan pelan perhitungan mengikut keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Januari 2002, tetapi ia tidak diguna pakai semasa pemecahan lot kepada syarikat swasta.

“Tapak lot dipecahkan pada 2009 atas nama ‘anak syarikat Kerajaan Negeri’ itu. Kita rasa ada penyelewengan geran dikeluarkan kepada pihak terbabit, sekali gus membelakangkan arahan EXCO-MTES Bil 4/2001 kerana tidak terdapat gazet asal dibatalkan,” katanya.

'Sudah-sudahlah Nik Aziz, tutup mulut'

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini digesa supaya menutup mulutnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan berhubung kedudukan orang Melayu di negara ini.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, Mursyidul Am Pas itu juga tidak sepatutnya mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang mementingkan orang Melayu lebih daripada agama.

Menurutnya, apa sahaja yang diluahkan Nik Abdul Aziz selama ini, ia jelas bertentangan dengan imejnya yang dilihat sebagai seorang ulama.

"Kita tidak mahu dengar cakap Nik Abdul Aziz lagi. Sudah muak. Makin lama dia cakap, makin ramai yang marah kepadanya. Orang Pas sendiri pun ramai yang marah dengan Nik Abdul Aziz tetapi tidak berani menyuarakannya secara terbuka.

"Nik Abdul Aziz sebelum ini pun sudah banyak mengeluarkan fatwa songsang dan mengelirukan. Dia sebenarnya tidak sayang agama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu yang tidak kisah jika dilahirkan sebagai Orang Asli dan tidak meminta untuk dilahirkan sebagai orang Melayu.

Kata Nik Abdul Aziz, beliau tidak perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Melayu kerana ia adalah ketentuan Allah kepada setiap manusia di atas muka bumi.

Beliau kemudiannya menyelar Dr. Mahathir kerana mementingkan orang Melayu lebih daripada agama.

Dr. Mahathir sebelum ini menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai pengkhianat orang Melayu kerana sanggup memecahbelahkan perpaduan ummah semata-mata untuk kepentingan politik.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, mengenai dakwaan mengatakan Dr. Mahathir menyisihkan agama, Nik Abdul Aziz seharusnya berhati-hati mengeluarkan dakwaan berkenaan.

"Saya rapat dengan Dr. Mahathir semasa menjadi Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN) dahulu. Beliau seimbang dan perjuangkan Melayu serta Islam. Dr. Mahathir tidak pernah mencicirkan Islam dan juga Melayu.

"Sudah-sudahlah Nik Abdul Aziz. Tutup mulut," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Salleh berkata, Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya dilahirkan sebagai Melayu Singapura memandangkan beliau dan Pas memartabat Lee Kuan Yew sebagai pemimpin yang perlu disanjung tinggi.

Jelasnya, Nik Abdul Aziz selama ini menganggap Menteri Mentor Singapura jauh lebih mulia daripada mana-mana pemimpin Islam di tanah air sendiri.

"Nik Abdul Aziz juga berpendapat bahawa nasib orang Melayu dan Islam di Singapura juga lebih baik daripada Melayu dan Islam di Kelantan. Ini memang betul kerana 20 tahun Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, tiada sebarang kemajuan jika dibandingkan dengan Singapura.

"Oleh itu, di mana maruah Nik Abdul Aziz sebab beliau makan gaji buta tanpa buat kerja?

"Nik Abdul Aziz hanya pandai memperalatkan ayat al-Quran untuk mengaburi mata rakyat Kelantan supaya rakyat tidak berani mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai Menteri Besar," tambahnya.

Mengulas isu sama, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee memberitahu tidak mustahil Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak kisah dilahirkan sebagai Benggali kerana tidak pernah meminta dilahirkan sebagai Melayu.

"Semalam dia kata tak kisah jika dilahirkan sebagai Orang Asli, maka saya tidak menolak esok dia juga akan berkata tak kisah jadi Benggali asalkan Pas mendapat sokongan rakyat," katanya.

Sambil menyifatkan Nik Abdul Aziz seperti 'sesumpah', beliau kesal Nik Abdul Aziz masih berterusan memainkan isu bangsa dan agama untuk meraih simpati.

"Inilah cerita putar alam daripada seorang pemimpin politik nyanyuk tetapi masih beranggapan hanya dirinya tokoh ulama yang hebat,"

Selangor belakangi sultan

UMNO Selangor kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila mendahului bidang kuasa baginda dalam isu pelantikan Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus (gambar) berkata, tindakan kerajaan negeri menerusi exconya, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel sebelum majlis watikah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Selangor pada hari ini tidak wajar dan dilihat cuba membelakangkan baginda.

Katanya, Halimah tidak sepatutnya mengumumkan perkara itu terlebih dahulu kerana hanya Sultan Selangor sahaja yang berhak melantik Raja Arshad untuk mewakili baginda sebagai Canselor universiti milik kerajaan negeri itu.

Malah katanya, berdasarkan perlembagaan Unisel, Canselor Unisel ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik sendiri oleh baginda, bukannya kerajaan negeri apatah lagi Halimah.

"Maka, kita lihat kerajaan negeri tidak menghormati kedudukan Sultan Selangor termasuk bidang kuasa yang ada pada baginda dalam pelantikan itu.

"Sebagai rakyat Selangor, kita kesal akan perkara ini. Malah sikap tidak hormat kepada Sultan Selangor semakin berleluasa dilakukan oleh kerajaan negeri pada hari ini.

"Sebelum ini kerajaan negeri membantah perkenan baginda dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Sekarang ini kerajaan negeri mengamalkan sikap sedemikian dalam isu pengumuman pelantikan Canselor Unisel," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Shukor mengulas titah Sultan Selangor hari ini yang mahu semua pihak mematuhi peruntukan perlembagaan Unisel yang menetapkan bahawa pemilihan dan pelantikan canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang turut kesal dengan sikap kerajaan negeri yang didakwa cuba menerapkan unsur-unsur politik kepartian di dalam pengurusan termasuk para pelajar universiti itu.

Katanya, penerapan unsur sedemikian jelas dilihat apabila kerajaan negeri membenarkan ahli politik, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan ceramah di universiti itu selain mengheret pelajarnya mengadakan demonstrasi jalanan sebelum ini.

"Apakah yang cuba dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap Unisel? Apakah mereka mahu menjadikan universiti ini pusat pendidikan atau tempat berpolitik kepartian?

"Ketika ini Unisel difahamkan mengalami masalah kewangan yang teruk, termasuk bilangan pelajar yang semakin menurun. Sekiranya kerajaan negeri terus bermain politik, Unisel akan terus berada dalam keadaan yang sukar, termasuklah hilang keyakinan para ibu bapa," katanya.